SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Memetik Berita Harian, Hakim, Datuk Aslam Zainuddin, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Sanusi.
Pihak pendakwaan pada mulanya mencadangkan Sanusi dilepas tanpa bebas, tetapi hakim membenarkannya dibebaskan selepas pihak pembelaan berhujah mahkamah perlu membebaskannya memandangkan pihak pendakwaan menyatakan niat tidak meneruskan kes itu.

Sanusi didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Al-Sultan Abdullah dalam sebuah ceramah di Gombak pada Julai 2023, dengan menyentuh pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Pada 10 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan Sanusi daripada satu pertuduhan menghasut yang berkait dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Aslam ketika itu memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dan menarik balik pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi itu.
Namun, ketika itu, Sanusi kekal untuk dibicarakan bagi pertuduhan menghasut berkait Al-Sultan Abdullah dan hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes itu.
Baca juga: