Sanusi Tarik Balik Kenyataan Fitnah 2022 Terhadap Anwar

KUALA LUMPUR: Pertikaian peribadi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berakhir secara damai apabila Sanusi menarik balik kenyataannya terhadap Anwar secara terbuka dan tanpa syarat.

Langkah itu sekali gus menamatkan saman fitnah yang difailkan Anwar pada 13 Disember 2022 berhubung ucapan Sanusi dalam ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Peguam Anwar, Datuk S. N. Nair memaklumkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, telah merekodkan penghakiman persetujuan selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

Menurut kenyataan bersama, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesan tindakan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung, selain keperluan memberi tumpuan kepada isu lebih besar demi kepentingan negara.

“Penarikan balik ini dibuat bagi menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

“Datuk Seri Anwar turut bersetuju menarik balik saman sivil tanpa perintah kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” menurut kenyataan itu.

Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi sebarang kenyataan yang menjadi asas kepada saman berkenaan sebagai tanda komitmen terhadap penyelesaian yang dicapai.

Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim dan pegawai mahkamah atas profesionalisme mereka sepanjang proses berlangsung dan berharap penyelesaian ini diterima semua pihak demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Anda Mungkin Berminat