Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Seramai 3.1 juta penerima kategori bujang layak mula menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini, sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Bagi Nurul Azira, 27, seorang pekerja sektor swasta, bantuan yang diterima digunakan sebaiknya untuk membeli makanan dan barangan asas.
“Saya tinggal di Kuala Lumpur, kita tahu kos sara hidup memang tinggi.
“Dengan bantuan RM50 ini, saya dapat membeli makanan kering seperti biskut, minuman kotak dan makanan bertin seperti sardin yang boleh disimpan lama.

“SARA ini sangat membantu. Walaupun ada yang kata jumlahnya sedikit. Tapi bagi saya yang bujang, RM50 memadai dan boleh ringankan beban saya sebagai golongan B40 bandar,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Sementara itu, seorang juruwang di Kelantan, Nur Asyikin Mohd Raof, 22, mengakui terkejut apabila namanya tersenarai sebagai penerima bantuan.
“Saya hanya membuat semakan kerana tanpa meletakkan harapan tinggi. Saya hanya mencuba nasib memandangkan kakak saya dapat bantuan ini dan saya tengok perbelanjaan sangat jimat setiap bulan hasil daripada SARA.

“Memang bersyukur sangat apabila nama saya tersenarai dalam bantuan SARA. Dapatlah saya gunakan untuk membeli keperluan asas seperti beras,” katanya.
Bagi penerima lain, Noor Syazwani Ahmad Zainun, 25, bantuan ini dianggap memudahkan rakyat kerana boleh digunakan untuk membeli 14 kategori barangan asas di lebih 7,300 kedai seluruh negara.
“Biasanya saya semak barang yang boleh dibeli menggunakan aplikasi MyKasih. Mudah sahaja cuma perlu imbas.
“Saya tinggal di kawasan kampung di Kedah. Jadi saya berfikiran bahawa hanya boleh berbelanja di kedai besar seperti Mydin sahaja. Tapi di kedai runcit biasa pun boleh. Sangat mudah bagi saya tak perlu ke bandar.
“Bagi saya Kerajaan MADANI memang betul-betul buat inisiatif ini untuk mudahkan rakyat B40 beli barang keperluan.

“Saya berterima kasih terutama sekali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tak putus-putus fikir fasal rakyat,” katanya.
Untuk info, bantuan bulanan sebanyak RM50 diberikan kepada mereka berpendapatan RM2,500 ke bawah, manakala penerima eKasih memperoleh RM100.
Bantuan tersebut dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan di pasar raya serta kedai rakan niaga berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Golongan bujang juga boleh membuat semakan baki di semua premis tersebut hanya dengan menggunakan MyKad.








