SARA: Lebih 2.9 juta rakyat berbelanja RM192.4 juta

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Penghargaan SARA merekodkan lebih 2.9 juta penerima membeli barangan keperluan asas mencecah perbelanjaan RM192.4 juta di seluruh negara dalam tempoh tiga hari.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan media bahawa jumlah terbabit merupakan transaksi tertinggi setakat ini dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan pada 2 September 2025.

“Peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos 2025 menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit, berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025.

“Ini merupakan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan kelancaran sistem pembayaran, kerajaan telah mempertingkatkan kapasiti pemprosesan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.

“Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir,” kata kementerian itu.

Justeru katanya, peningkatan itu dijangka bakal mempercepat proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna.

Kementerian Kewangan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sambutan yang begitu menggalakkan daripada para penerima.

“Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna,” tambahnya.

Untuk rekod, kredit RM100 Penghargaan SARA adalah kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan seluruh rakyat boleh menggunakan inisiatif terbabit di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat