PETALING JAYA: Sepasang suami isteri meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berjaya menggunakan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara ‘one-off’ bagi membeli barangan keperluan di pasar raya.
Menerusi hantaran kandungan di laman Thread a.natashazmi, pasangan tersebut, memberitahu jumlah keseluruhan pembelian mereka hanya mencecah RM201.25.
Mereka menggunakan kad pengenalan masing-masing untuk menebus bantuan bernilai RM100 setiap seorang, dan hanya perlu membayar baki RM1.25 secara tunai.
“Alhamdulillah, kali ini dapat guna bantuan SARA one-off di 99 Speedmart sebab tak ramai orang.
“Jumlah pembelian RM201.25, guna IC isteri dan suami RM100 setiap seorang, cuma tambah RM1.25 saja. Rasa sangat berbaloi,” kata mereka.
Pasangan itu turut menyatakan bahawa bantuan tersebut amat membantu dalam menampung keperluan barangan kering bulanan mereka, yang diibaratkan seperti diperoleh secara percuma.
“Menarik sangat, bahan kering bulan ini ibarat percuma,” ujarnya.
Malah, pasangan terbabit turut menggalakkan orang ramai untuk berkongsi pengalaman masing-masing ketika menggunakan bantuan SARA.
Sebelum ini, media melaporkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri menerusi MyKad telah disalurkan mula 31 August pada Sabtu dan boleh dibelanjakan hingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga SARA di seluruh negara termasuk melalui program Jualan Rahmah.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan sambutan luar biasa daripada penerima SARA yang membelanjakan RM50 juta membabitkan 850,000 penerima.
Baca juga: