PETALING JAYA: Kerajaan MADANI sekali lagi membawa khabar gembira apabila seramai 22 juta rakyat Malaysia mula menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara ‘one-off’ bermula hari ini, Isnin.
Dalam hantaran di Facebook Kementerian Kewangan (MOF), bantuan itu diberikan sebagai usaha berterusan meringankan kos sara hidup rakyat dan memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara.
“SARA untuk semua dikreditkan mulai 9 Februari 2026. RM100 secara ‘one-off’. Selamat berbelanja,” kata kenyataan itu.
Bantuan SARA akan disalurkan melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas yang disenaraikan di bawah inisiatif ini di lebih 10,000 kedai runcit serta pasar raya terpilih di seluruh negara.
Orang ramai boleh menyemak kelayakan serta maklumat lanjut melalui laman web rasmi di sara.gov.my.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sistem MyKasih telah ditambah baik dengan meningkatkan kelajuan capaian bagi memastikan rakyat dapat menggunakan bantuan SARA tanpa gangguan.
“Saya bercakap dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan beliau memberi jaminan bahawa hari pertama pelaksanaan SARA, kita mempelajari apa yang perlu dilakukan untuk elak daripada masalah sistem yang berlaku di hujung 2025.
“Beliau memaklumkan pihak MyKasih yang menguruskan pengkalan data sudah meningkatkan jumlah ‘bandwidth’ bagi memastikan tidak berlaku apa-apa masalah pelaksanaan SARA untuk semua bermula hari ini,” katanya.








