Tindakan pelakon popular, Datuk Rosyam Nor yang mengeluarkan kenyataan tentang keperluan untuk mewujudkan rumah pelacuran sebagai tempat pelancong dan pekerja asing melempiaskan nafsu, mengundang pelbagai reaksi masyarakat.
Meskipun tidak menafikan setiap individu mempunyai peluang untuk meluahkan pandangan masing-masing khususnya di media sosial, namun tindakan pelakon senior itu disifatkan agak keterlalu.
Pandangan beliau itu bagaimanapun bertentangan dengan pengguna media sosial yang rata-rata meluahkan rasa bimbang sekiranya ada pihak yang ‘sekepala’ dengan pandangan begitu.
Memetik perkongsian di aplikasi X, pengguna media sosial berpendapat lambakan pusat pelacuran akan meningkatkan aktiviti jenayah.
“Bila ada pelacuran berleluasa ada pula anak gadis tempatan yang dijual. Lebih ramai lagi ganster dan aktiviti haram lain yang berkaitan akan subur.
“Tempias akan kena kat (pada) rakyat tempatan juga,” kata Faizal Ismail.
Sementara itu, ada juga yang mengatakan kenyataan tersebut seharusnya tidak dikeluarkan daripada individu berpengaruh lebih-lebih lagi dalam industri hiburan.
“Itu pandangan peribadi beliau. Tapi aku cringe (keterlaluan) kejap sebab dia pernah mengacara program Da’i,” kata Azwan AR.
Dalam pada itu, fahaman tentang pusat pelacuran juga perlu diambil kira memandangkan perkara tersebut bukan sahaja bertentangan dengan agama, bahkan amat dilarang dalam undang-undang.
“Tapi pelacuran satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 372B penal code Datuk. Aktiviti perseundalan.
“Mana mungkin nak legalise (benarkan) benda yang terang-terang telah disenaraikan sebagai satu kesalahan Datuk? Pandangan Datuk saya hormati, tapi kena lebih berhati-hati dan cakna dengan undang-undang semasa,” kata kikikuku.
Untuk info, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu mengeluarkan kenyataan demikian ketika muncul di podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel baru-baru ini.
Pelakon dan juga usahawan itu turut mengatakan pusat pelacuran perlu ada di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.
Katanya, warga asing lelaki yang datang ke negara ini kebanyakannya meninggalkan isteri masing-masing di negara halaman mereka.
Bagaimanapun, Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 56, menegaskan bahawa itu hanya pandangan peribadi beliau selain meminta agar penonton membuat penilaian sendiri.
Baca juga: