Sarawak Berdepan Risiko Banjir, PRABN Keluar Amaran Awal

PETALING JAYA: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) pada Sabtu mengeluarkan amaran awal kemungkinan berlakunya banjir di beberapa bahagian di Sarawak susulan hujan berterusan yang dijangka melanda negeri itu mulai 7 hingga 9 Disember.

Dalam kenyataannya, PRABN berkata, amaran tersebut dibuat selepas mengambil kira notifikasi Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 3 Disember lalu.

“Berdasarkan analisis semasa, beberapa kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari lembangan sungai utama di Sarawak berisiko dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan,” katanya.

Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko termasuk Hospital Umum Sarawak, Jalan Matang, Taman Desa Wira, Kampung Buso serta beberapa kampung di sekitar Lembangan Sungai Sarawak dan Batang Kayan di Kuching dan Lundu.

Di Miri, kawasan sekitar Lembangan Sungai Miri seperti Jalan Brooke, Tanjung Lobang, Bintang Jaya, Taman Tunku serta beberapa institusi pendidikan turut disenaraikan sebagai lokasi berpotensi mengalami limpahan air.

Selain itu katanya, kawasan di Mukah, Samarahan, Betong dan Sibu yang berhampiran Lembangan Sungai Batang Rajang, Batang Samarahan serta Batang Saribas juga berisiko dilanda banjir sekiranya hujan berterusan.

PRABN menasihatkan penduduk khususnya yang berada di kawasan rendah supaya berwaspada, memantau maklumat rasmi serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pemindahan jika diperlukan.

Amaran ini dikeluarkan susulan pola cuaca tidak menentu di Sarawak sejak minggu lalu, yang menyaksikan paras air di beberapa sungai utama menunjukkan peningkatan berikutan hujan berpanjangan.

Anda Mungkin Berminat