Sarawak Lancar KETEQ AI, Peranti Penukar Kuasa AI Pertama Dunia

PETALING JAYA: Sarawak melakar sejarah baharu dalam dunia teknologi apabila melancarkan KETEQ AI, penukar kuasa pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia yang dibangunkan sepenuhnya oleh Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai pencapaian utama dalam pelaksanaan Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 and Beyond, yang bertujuan menjadikan negeri itu hab inovasi teknologi tinggi serantau.

“Pembangunan penukar kuasa pintar Edge ini bukan sekadar hasil dasar, ia adalah pemangkin kepada transformasi besar.

“Inovasi ini akan mengubah sepenuhnya landskap teknologi kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Sarawak (UKAS).

Beliau membuat kenyataan itu semasa lawatan ke kemudahan CSA Catapult di Cardiff, Wales, pada Selasa.

Tambah beliau, KETEQ AI mempunyai keupayaan untuk mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam masa kurang daripada 0.1 milisaat, menjadikannya salah satu sistem tindak balas terpantas dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa.

“Teknologi ini bukan sahaja melambangkan lonjakan besar ke hadapan dalam keupayaan teknologi strategik Sarawak tetapi juga menunjukkan keazaman Sarawak untuk membina keupayaan teknologi bebas,” katanya.

Perjalanan ke arah pembangunan KETEQ AI bermula setahun lalu, pada 23 April 2024, apabila Memorandum Persefahaman antara SMD Semiconductor dan CSA Catapult dimeterai di Parlimen United Kingdom.

Katanya, kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam misi Sarawak untuk memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi tempatan.

“Dengan aplikasi meluas merangkumi grid pintar, kenderaan elektrik, sistem autonomi, IoT industri, penyelenggaraan ramalan dan sistem kawalan kritikal.

“KETEQ AI direka untuk kecekapan tenaga, kebolehskalaan dan kepantasan tindak balas luar biasa,” jelasnya.

Potensi aplikasi KETEQ AI adalah luas, termasuk grid pintar, sistem kenderaan elektrik, teknologi automasi, Internet Industri Perkara (IoT), sistem penyelenggaraan ramalan dan pelbagai mekanisme kawalan kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd yang juga ketua jurutera projek, Shariman Jamil turut membuat demonstrasi langsung prototaip canggih ini, memperlihatkan keupayaan KETEQ AI sebagai pemangkin revolusi industri akan datang.

Dengan slogan ‘Innovation in just a Snap’ KETEQ AI bukan sahaja membuktikan keupayaan anak tempatan dalam bidang teknologi tinggi, tetapi juga meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai peneraju dalam kecerdasan buatan dan sistem kuasa pintar.

Anda Mungkin Berminat