“SAYA tak dapat membalas budinya,” itu ungkapan Seniwati Datuk Dr Sarimah Ahmad yang merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani kerana membantu mendapatkan semula empat filem beliau daripada sebuah syarikat produksi.
Pelakon yang kini berusia 83 tahun itu bersyukur penantian selama 36 tahun bagi mendapatkan filem “Dia Ibuku”, “Jejak Bertapak”, “Kabus Tengah Hari”, dan “Detik 12 Malam” yang diambil oleh syarikat produksi terlibat di bawah perjanjian tayangan pada 1989, akhirnya tercapai.
Beliau yang sebak dan tidak mampu membendung air mata juga menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
“Saya mengucapkan terima kasih terutama kepada Kerajaan Madani, khususnya kepada Perdana Menteri kita, saya tak dapat membalas budinya. Cuma Allah saja yang mampu membalas budi beliau (Anwar).
Saya doakan beliau (Anwar) diberi kekuatan untuk menghadapi segala ujian, saya tak pernah berjumpa berdepan dengan beliau, hanya sekali itu pun kami berselisih ketika saya sedang merakam penggambaran filem,” katanya, memetik Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau ditemui dalam program Ziarah Seni Madani FINAS yang dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang turut berkata, Kementerian Komunikasi akan berusaha menunaikan hasrat Sarimah untuk bertemu Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.