Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin atas tuduhan terima rasuah bernilai RM20,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita terlibat kes pecah amanah dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, S Usha Nantiny, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan keatasnnya yang dibaca di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa meminta meminta suapan RM20,000 daripada seorang lelaki bagi melepaskan isterinya, dalam kes pecah amanah sebagai dorongan untuk tidak menahan wanita berkenaan dua tahun lalu.
Perkara itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Segamat, jam 4.50 petang, 28 Ogos 2022.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, S Selvantheran.
Pendakwaan memohon jaminan RM15,000 namun Selvantheran dalam hujahnya memberitahu, tertuduh hanya mampu membayar jaminan RM8,000.
“Ia di luar kemampuan tertuduh, wanita itu masih berkhidmat di IPD Segamat dan mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan enam tahun serta ibu bapa mentua,” katanya lapor Sinar Harian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke pejabat SPRM Segamat setiap bulan.
Tarikh 24 Mac ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Baca juga: