KUALA LUMPUR: Kerajaan hampir menamatkan sasaran pembinaan 500,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan pencapaian setakat ini mencecah 98.8 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memaklumkan sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 493,874 unit rumah telah siap atau berada di pelbagai peringkat pelaksanaan. Daripada jumlah itu, 197,311 unit telah disiapkan sepenuhnya, 217,371 unit (43.5 peratus) sedang dibina, manakala 79,192 unit (15 peratus) telah mendapat kelulusan perancangan.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen kerajaan memastikan agenda perumahan rakyat tidak sekadar tinggal di atas kertas, tetapi benar-benar menjadi realiti di lapangan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Walaupun hampir mencapai sasaran, Anwar menegaskan permintaan rumah mampu milik masih besar. Bagi memenuhi keperluan tersebut, kerajaan melaksanakan projek baharu termasuk skim Sewa Untuk Beli (RTO), pembangunan berorientasikan transit, serta projek khas seperti Kota MADANI di Putrajaya dan Cheras.
Projek Kota MADANI di Putrajaya akan menampilkan 10,000 unit rumah, dengan 90 peratus diperuntukkan kepada penjawat awam. Fasa pertama membabitkan 3,000 unit, diikuti 7,000 unit pada fasa kedua.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang memberi ruang kepada golongan B40 dan M40 memiliki kediaman walaupun berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank.
Sejak 2023, kerajaan menyalurkan jaminan bernilai RM20.9 bilion untuk 88,507 permohonan di bawah SJKP. Melalui SJKP MADANI, pinjaman sehingga 120 peratus turut ditawarkan bagi menampung kos sampingan seperti pindah masuk dan pembelian perabot.
Anwar menegaskan baki sasaran perumahan RMK12 akan terus dipantau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama kerajaan negeri, agar dapat diselesaikan menjelang akhir tempoh rancangan.








