Sasterawan Negara Cadang Tiada PRK Di DUN Lamag, Saran Pinda Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan mencadangkan supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lagi diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, susulan kematian penyandangnya, baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau menyarankan supaya pindaan Perlembagaan dibuat bagi membolehkan calon kedua atau wakil pengganti dilantik secara automatik tanpa perlu melalui proses PRK yang, menurutnya, melibatkan kos besar serta pembaziran masa.

Cadangan itu dikemukakan dalam sepucuk warkah bertarikh 9 Disember kepada Ahli Dewan Negara, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan, susulan laporan bahawa satu PRK akan diadakan semula di kawasan berkenaan.

Menurut Anwar Ridhwan, Pilihan Raya Negeri Sabah baru sahaja selesai, termasuk di Lamag.

Justeru, pelaksanaan PRK akan melibatkan perbelanjaan puluhan juta ringgit wang rakyat serta mengheret semula pelbagai pihak ke kancah politik yang disifatkannya sebagai tidak produktif.

“Malaysia bukanlah negara kaya untuk membelanjakan puluhan juta ringgit bagi setiap Pilihan Raya Kecil.

“Banyak kawasan masih memerlukan pembangunan, dan masa ahli politik sepatutnya dimanfaatkan untuk merancang pembangunan seterusnya, bukan sekadar berpolitik,” katanya dalam warkah itu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri serta Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipinda bagi membolehkan mekanisme penggantian wakil rakyat dilaksanakan tanpa perlu PRK.

Antara cadangan utamanya ialah mewajibkan setiap parti yang bertanding mengemukakan dua calon serentak bagi setiap kerusi.

Sekiranya calon utama yang menang meninggal dunia, calon kedua secara automatik mengisi kekosongan tersebut.

Selain itu, bagi parti yang hanya mencalonkan satu nama, beliau mencadangkan supaya pindaan Perlembagaan membolehkan parti berkenaan menamakan wakil pengganti tanpa perlu melalui PRK.

Anwar Ridhwan turut mengakui bahawa cadangan itu mungkin tidak disenangi oleh ahli politik kerana PRK sering dijadikan sebagai ukuran sokongan rakyat, namun menegaskan bahawa kos yang tinggi serta pembaziran masa berkempen semula perlu diberi pertimbangan serius.

“Wang rakyat mesti dimanfaatkan sebaik mungkin untuk masa depan rakyat.

“Tanpa Pilihan Raya Kecil, kita mungkin lebih tenang dan terhindar daripada pelbagai keburukan termasuk di media sosial,” katanya.

Setakat ini, tiada sebarang maklum balas rasmi dikeluarkan oleh kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung cadangan tersebut.

Anda Mungkin Berminat