Oleh: Aliyaa Azmi
DEDIKASI peminat terhadap Datuk M. Nasir terserlah apabila sebuah keluarga dari Rawang tidak pernah terlepas menyaksikan ketiga-tiga siri konsert Cipta, termasuk yang terbaharu, Cipta 3 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang bakal berlangsung malam ini.
Pasangan suami isteri, Hashim Haliman dan Sabariah Ishak, berkata minat mereka terhadap M. Nasir sudah lama berakar, malah turut diwarisi anak-anak yang membesar dengan lagu-lagu penyanyi tersohor itu.
“Dari konsert pertama di KLCC, kemudian Cipta 2 dan sekarang Cipta 3, kami memang setia datang. Boleh kata konsert M. Nasir ni jadi acara keluarga kami,” kata Sabariah.

Hashim pula mengharapkan persembahan kali ini tampil lebih bertenaga dan berbeza daripada sebelumnya kerana dijanjikan “attitude rock” oleh M.Nasir itu sendiri.
“Kalau di konsert pertama yang berlangsung di KLCC dulu persembahan lebih sederhana, kali ini penuh variasi. Ada busana Melayu, ada elemen rock. Memang lain dan semakin mantap. Saya harapkan sepuluh daripada sepuluh,” katanya dengan penuh teruja.
Mereka sekeluarga mengakui kehadiran ke tiga-tiga siri konsert itu sebagai tanda penghargaan kepada karya M. Nasir yang dianggap sentiasa relevan merentas generasi.
“Suami minat, anak-anak pun minat. Dari kecil sampai besar, lagu M. Nasir tetap dekat di hati,” tambah Sabariah.
Anak pasangan itu, Nurul Nadia binti Hashim, turut berkongsi pengalaman membesar dengan karya M. Nasir hasil minat mendalam kedua ibu bapanya.
“Memang dari dulu ikut mama dan ayah minat M. Nasir. Dari kecil lagi dah terbiasa dengar lagu dia, jadi sampai sekarang saya pun minat,” katanya.
Baca juga: