Satu Kluster Baharu Mpox Dikesan, Situasi Terkawal – KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kewujudan satu kluster baharu mpox membabitkan empat sekeluarga, dengan kes indeks melibatkan seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.

Menurut KKM, pesakit indeks mula bergejala pada 20 Oktober sebelum disahkan positif mpox Clade I pada 12 November.

Tiga ahli keluarga turut dijangkiti dan disahkan positif sehari kemudian.

“Semua pesakit berada dalam keadaan stabil serta menjalani pengasingan di rumah.

“Penularan juga didapati terhad dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

KKM menjelaskan, setakat Minggu Epidemiologi ke-46 tahun ini, sebanyak 12 kes mpox dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sejak Julai 2023 sebanyak 23 kes.

“Semua kes berjaya dibendung melalui pengesanan awal dan pemeriksaan kontak rapat,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, KKM menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada, peka terhadap gejala dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan.

Anda Mungkin Berminat