Shafira Aziz
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
BN mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri, 38 manakala PN pula mempertaruhkan Mohd Rizwadi Ismail.
Kedua-dua calon telah menyerahkan borang pencalonan mereka di pusat penamaan calon di Dewan Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan pada Sabtu.
Sesi penyerahan borang penamaan calon tamat pada 10 pagi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian PRK DUN Nenggiri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos depan, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan.
Ia selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos, susulan keperluan untuk mereka bertugas sepanjang tempoh kempen PRK.
Menurut SPR seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
PRK Dun Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.