‘Satu penghormatan dapat nyanyi lagu tema ASEAN-GCC-China’ – Siti Nurhaliza

PETALING JAYA: Malam Gala ASEAN-GCC-China yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini menjadi pentas gemilang bagi meraikan perpaduan, diplomasi dan warisan budaya serantau.

Antara kemuncak acara tersebut ialah persembahan memukau oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berganding dengan artis dari pelbagai negara.

Dalam acara berprestij yang dihoskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Siti Nurhaliza menyampaikan lagu tema ASEAN-GCC-China, di mana sebuah karya yang melambangkan semangat kebersamaan antara rantau Asia Tenggara, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China.

“Menjayakan persembahan di Malam Gala ASEAN-GCC-China malam kelmarin.

“Satu penghormatan buat saya apabila dapat berganding dengan artis dari beberapa negara lain serta menyanyikan lagu tema ASEAN-GCC-China,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Selain lagu tema, beliau turut menyampaikan lagu Kurik Kundi, sebuah lagu yang amat sentimental buat dirinya sebagai penyanyi dan rakyat Malaysia.

Malam Gala itu turut menyaksikan kehadiran pemimpin dari ASEAN, GCC dan China termasuk Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi serta Perdana Menteri China, Li Qiang.

Acara dimulakan dengan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan diikuti dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian budaya rantau ini.

Siti Nurhaliza juga berpeluang bertemu dan berkenalan dengan beberapa artis antarabangsa yang turut memeriahkan malam tersebut termasuk Dalia Mubarak (Arab Saudi), Princess Norodom Jenna (Kemboja), Balqees Fathi (UAE), Laure Shang (China), Dana Al Meer (Qatar) dan Văn Mai Hương (Vietnam).

Malam Gala ASEAN-GCC-China bukan sekadar sebuah acara hiburan tetapi juga simbol perpaduan dan diplomasi budaya yang memperkukuh hubungan antara negara-negara yang terlibat dalam sidang kemuncak bersejarah ini.

Anda Mungkin Berminat