Oleh: Farah Faizal
PETALING JAYA: Strategi kerajaan adalah untuk mempelbagaikan urusniaga secara langsung dengan negara-negara berkepentingan dalam memastikan Malaysia sebagai negara yang neutral.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keputusan Malaysia untuk sertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) bukan bertujuan menolak penggunaan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat sebaliknya bertujuan mengurangkan risiko ketidakstabilan mata wang Ringgit Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kita boleh berdagang menggunakan mata wang Ringgit Malaysia dengan negara-negara terlibat sekali gus mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu mata wang sahaja. Ini tindakan yang neutral,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab program Ask Minister Anything yang diadakan di Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.
Rafizi turut menekankan bahawa, BRICS melibatkan ekonomi-ekonomi negara yang mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi dunia.
“Jadi pandangan saya, jika kita diterima masuk BRICS, itu sebenarnya pengiktirafan dan keyakinan kepada Malaysia bahawa kita juga dilihat sebagai salah sebuah daripada negara ekonomi tengah di dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, Malaysia mempunyai hubungan baik bukan sahaja dengan negara blok barat, blok timur tetapi juga blok negara Islam. Justeru, kerjasama ini bukanlah sesuatu yang janggal.
“Kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara antarabangsa termasuklah negara ahli di dalam BRICS juga bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ia telah terjalin lama.
“Sebagai contoh, kita mempunyai jalinan kerjasama yang lama dengan Brazil khususnya dalam sektor gas dan minyak. Salah satu operasi luar terbesar Petronas adalah di Brazil, ada stesen minyak Petronas di sana,” ujarnya.
Pada 18 Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
Untuk rekod, BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi dan sedang pesat membangun. Afrika Selatan kemudian menyertai blok itu pada 2010, sebelum disertai Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.