ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif menegaskan bahawa negaranya akan mempertahankan sepenuhnya kedaulatan dan integriti wilayahnya, susulan serangan peluru berpandu dan dron oleh India yang mengorbankan ramai orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
Beliau menyatakan perkara itu dalam pertemuan bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri Arab Saudi, Adel Al-Jubeir, yang tiba di Islamabad pada Jumaat.
Memetik laporan, Pakistan Today, dalam perbincangan tersebut, Shehbaz turut menyampaikan salam hormat kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota, Mohammad bin Salman.
Beliau memuji usaha diplomatik Arab Saudi yang berterusan dalam meredakan ketegangan serta memelihara keamanan serantau.
“Serangan tidak berasas dan tidak diprovokasi oleh India bukan sahaja melanggar kedaulatan Pakistan, malah turut mengancam keamanan dan kestabilan serantau,” tegas beliau, sambil memberi penghargaan kepada Angkatan Tentera Pakistan atas keberanian dalam mempertahankan negara.
Adel Al-Jubeir menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa orang awam dan menegaskan kebimbangan Arab Saudi terhadap situasi semasa di Asia Selatan.
Beliau turut menggesa agar pertikaian antara Pakistan dan India diselesaikan secara aman mengikut undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Dalam pada itu, Rumah Putih memaklumkan bahawa Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, sedang berhubung rapat dengan pemimpin kedua-dua negara bagi menggesa penyelesaian damai.
Jurucakap Karoline Leavitt berkata, Presiden Donald Trump ingin melihat ketegangan ditamatkan segera.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Senator Ishaq Dar turut menerima kunjungan Al-Jubeir di Kementerian Luar Negeri.
Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala dan terus menyokong keamanan serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, Dar turut mengadakan perbincangan telefon dengan Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, mengenai serangan India terhadap kawasan kediaman dan tempat ibadat di Pakistan.
Fidan menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan solidariti penuh Turki terhadap Pakistan.
Baca juga: