PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai.
Ia berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.
“Hari ini, saya telah hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.
“Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan media ringkas pada Khamis.
Ahli Parlimen Bera itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.48 pagi tadi dan pulang pada jam 3.15 petang selepas kira-kira lima jam memberi keterangan.
Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas tempoh cuti sakit Ismail Sabri tamat pada Rabu.
Ismail Sabri sepatutnya dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac untuk memberi keterangan, namun, beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan telah diberi sijil cuti sakit oleh doktor yang merawatnya sehingga semalam.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri diarah kembali menyambung keterangan kepada SPRM pagi esok.
Pada 11 Februari lalu, Ismail Sabri disoal siasat selama lima jam di ibu pejabat SPRM berhubung perbelanjaan ratusan juta ringgit yang dibelanjakan untuk perbelanjaan promosi dan publisiti semasa pentadbirannya dari 2021 hingga 2022.
Hasil siasatan yang dijalankan setakat ini, SPRM sudah merampas wang tunai dalam pelbagai bentuk mata wang asing berjumlah kira-kira RM170 juta bersama 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta.
Rampasan itu dibuat hasil serbuan terhadap tiga premis termasuk safe house selepas SPRM menahan empat bekas pegawai kanannya ketika menjadi Perdana Menteri.
SPRM juga membekukan 13 akaun bank yang mengandungi lebih RM2 juta sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap Ismail Sabri.
Baca juga: