Saya dengan ikhlas mahu membina jambatan dalam parti – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menegaskan keutamaannya kini adalah untuk memulihkan semula perpaduan dalam parti selepas pemilihan baru-baru ini yang menyaksikan beliau menewaskan Rafizi Ramli bagi jawatan nombor dua.

“Saya dengan ikhlas mahu membina jambatan dalam parti,” katanya ketika ditanya berhubung dakwaan beliau menawarkan jawatan timbalan presiden lantikan kepada Rafizi.

Nurul Izzah bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menekankan bahawa perbincangan peribadi tidak seharusnya diperbesar-besarkan.

“Saya percaya bahawa perkara yang dibincangkan secara sulit antara kalangan sahabat seharusnya kekal antara mereka,” katanya lagi seperti dipetik NST.

Dalam pemilihan parti PKR pada 23 Mei lalu di Johor, Nurul Izzah berjaya mengetepikan Rafizi bagi merebut jawatan nombor dua parti itu.

Tiga hari sebelum pemilihan, Rafizi mendakwa Nurul Izzah ada memintanya untuk membantu parti selepas pemilihan, dan membayangkan akan menawarkan satu jawatan kepadanya.

Semalam, Rafizi sekali lagi mendakwa beliau ditawarkan jawatan timbalan presiden lantikan oleh Nurul Izzah namun menegaskan beliau menolak sebarang jawatan, sejajar dengan pendiriannya ketika berkempen.

“Nurul Izzah ketika jumpa saya hari itu, dia cuba nak bawa kalau ada timbalan presiden dilantik. Kalau (jawatan) presiden dilantik sekalipun saya tak berminat, apatah lagi apa-apa jawatan lain,” katanya dalam satu program di kawasan parlimennya, semalam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat