Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh kepada media selepas selesai mengundi secara fizikal dalam pemilihan PKR di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, tengah hari tadi.
“Saya tadi tak ada bawa ‘cai’. Sebab tu ambil masa panjang.
“Kena teliti satu persatu, itu yang sebaiknya, tengok yang terbaik… kita undi.
“Jadi kalau ada ‘cai’ sana, ‘cai’ sini… saya tak. Dan saya harap dalam keputusan… dua-dua itu diambil kira yang dia rasa yang terbaik,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya memilih secara teliti tanpa dipengaruhi senarai pilihan yang tular sebelum ini.
Isu ‘cai’ ataupun senarai calon pilihan telah mendapat perhatian apabila calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengeluarkan senarai pilihannya sebelum pemilihan pusat parti bermula.
Senarai itu merangkumi empat individu dalam perebutan 12 kerusi utama parti termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik Presiden PKR, G Manivanan.
Ketika ditanya sama ada Rafizi akan hadir ke perasmian kongres PKR malam ini, Anwar menjangkakan kehadirannya.
“Saya ingat dia datang, dia tak bagitahu tapi saya assume (jangka) lah… dia Timbalan Presiden, dia datang, mesyuarat jemaah menteri pun dia datang, dia jalankan kerja dengan baik,” ulas Anwar.