PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) susulan pertemuannya dengan Presiden Donald Trump baru-baru ini, sebaliknya menegaskan pertemuan itu dilakukan demi mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Anwar berkata, beliau telah berunding dengan pelbagai pemimpin dunia termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Canselor Jerman sebelum mengambil langkah bertemu Trump bagi membincangkan usaha bantuan kepada rakyat Palestin.
“Saya tak tahu siapa lagi dah (nak dirujuk). Dah jumpa semua pemimpin utama dunia. Kalau nak minta bantuan untuk penyelesaian menyeluruh Gaza, mestilah kita kena hadapi Presiden AS,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menegaskan, pertemuan itu tidak menjadikan Malaysia boneka Washington, sebaliknya menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin, termasuk di hadapan Trump sendiri.
“Saya tak minta terima kasih, tapi jangan kutuk seolah-olah kita boneka AS. Mana mungkin saya boleh cakap begitu depan presiden (Trump) kalau kita tunduk?” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa beliau sebelum ini juga lantang menyuarakan isu kekejaman rejim Israel terhadap Palestin di hadapan Presiden Joe Biden pada Sidang APEC 2023 di San Francisco.
Mengulas lanjut, beliau berkata perjanjian perdagangan antara Malaysia dan AS turut mengandungi exit clause, sekali gus menafikan dakwaan kononnya Malaysia terikat atau kehilangan kedaulatan.
Baca juga:








