JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju cadangan menaikkan harga petrol RON95 yang pernah dibentangkan di Kabinet sebelum ini.
Justeru itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol untuk rakyat.
“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON 95, ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat.
“Namun, saya tak setuju naikkan harga, petrol RON95 boleh diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran.
“Namun harga petrol untuk empat juta orang rakyat asing di negara ini yang perlu dinaikkan.
“Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Presiden pada hari terakhir Kongres PKR Johor 2025, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tiada negara di dunia yang memberi subsidi petrol kepada golongan maha kaya termasuk yang memiliki deretan kereta mewah.
“Mana ada negara yang beri subsidi petrol pada yang ada Roll Royce terutama lima peratus golongan yang maha kaya negara ini.
“Namun golongan lima peratus ini suruh kita pertahankan mereka supaya dapat terus nikmati subsidi petrol,” katanya.








