Sebar gambar bogel punca tanam mayat belakang rumah, 5 individu didakwa membunuh

Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis mendakwa lima individu termasuk dua adik beradik di atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan.

Punca pembunuhan itu dipercayai disebabkan oleh tindakan penyebaran gambar bogel pada bulan Disember yang mana membawa kepada penemuan mayat ditanam ditemui di Sungai Choh.

Tertuduh ialah G.Ganong Segaran, 34 dan adik perempuanya G.Malani, 33, bersama S.Devi, 30, P.Saravanan, 31, dan P.K. Vikinesvaran, 20.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh didakwa telah membunuh S.Ashok, 20, di sebuah rumah di Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh, Rawang antara pukul 8 pagi hingga 3.30 petang pada 23 Disember 2023.

Menurut Kosmo, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kelima tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin manakala tarikh 4 Mac ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Turut didakwa dalam mahkamah sama, tertuduh Ganong Segaran dan seorang lagi adik lelakinya G.Dandem Bain, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu telah melupuskan keterangan yang diketahui telah berlaku dengan menanam mayat Ashok dengan niat untuk mengelakkan pesalah terlibat daripada dihukum.

Justeru kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian hanya membenarkan tertuduh Dandem Bain diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, lapan individu ditahan disyaki terbabit pembunuhan seorang lelaki tempatan yang ditemui ditanam di dalam belukar di belakang rumah salah seorang suspek di Kampung Sungai Choh, Rawang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara salah seorang suspek dan mangsa yang juga teman lelakinya.

Mayat mangsa kemudiannya ditanam di belakang rumah keluarga itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat