Sebat Patung Mirip PM, Dua Individu Termasuk CheguBard Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua individu termasuk aktivis politik Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, berhubung insiden menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kedua-dua suspek, masing-masing berusia 21 dan 47 tahun, ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Menurut beliau, siasatan dimulakan susulan video insiden berkenaan yang tular selepas dimuat naik ke media sosial.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pihak polis turut merampas beberapa peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar kandungan berkaitan insiden berkenaan.

Mohd Khalid memaklumkan bahawa permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

Beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai agar berhemah dalam menggunakan media sosial dan menghindari penyebaran hasutan atau provokasi.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat