Sebatan awam pertama di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang kayu berusia 42 tahun, Mohd Affendi Awang, menjadi individu pertama di Terengganu yang menerima hukuman sebatan awam di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas Mohd Affendi mengaku bersalah atas tuduhan khalwat berulang kali.

Mohd Affendi dijatuhkan hukuman enam sebatan awam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, selepas solat Jumaat pada 6 Disember depan, setelah tempoh rayuan tamat.

Hakim Syariah Kamalruazmi Ismail yang mengendalikan kes ini menjelaskan bahawa tujuan utama undang-undang Syariah adalah untuk memberikan panduan dan pendidikan sebagai langkah pencegahan, memastikan kesalahan tidak diulangi oleh tertuduh dan berfungsi sebagai pencegahan kepada masyarakat.

“Hukuman ini bukan semata-mata untuk menghukum tetapi untuk mendidik dan mencegah kesalahan berulang,” katanya.

Selain itu, beliau juga dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Kes ini melibatkan Mohd Affendi yang ditangkap bersama seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi, 16 Jun lalu.

Ini merupakan kali ketiga Mohd Affendi disabitkan kesalahan khalwat, dengan hukuman sebelumnya termasuk denda RM2,700 atau penjara tiga bulan pada Julai 2023 dan empat sebatan serta denda RM3,000 pada Februari 2024.

Anda Mungkin Berminat