Sebelum ke Riyadh, PM hadiri sesi meja bulat bincang peluang pelaburan

KAHERAH: Sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan dari pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.

Sesi ini turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, TYT Hassan El Khatib.

Anwar berkata, sesi itu dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada para pemimpin industri dan perniagaan mengenai peluang pelaburan di Malaysia, selain menerokai usahasama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di negara Malaysia.

“Insya-Allah, berdasarkan polisi Kerajaan MADANI yang jelas serta angka dan penunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan, disamping pengiktirafan sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia Tenggara, kita dapat memacu pertumbuhan ke peringkat global,” kata Anwar.

Tambah beliau, beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui dibincangkan dalam sesi yang produktif itu.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Mesir.

Anda Mungkin Berminat