Sebelum persoal untung Petronas, lihat pengorbanan di sebaliknya

Oleh: TS Dr Ahmad Fahmi Yaakob

ULASAN | Ramai bila nampak Petronas untung besar, terus marah dan tanya kenapa keuntungan itu tak “dikurangkan” untuk bantu rakyat.

Bagi saya, soalan itu terlalu mudah dan terlalu cetek.

Petronas ini bukan syarikat biasa. Ini antara aset strategik paling penting negara. Bila orang nampak angka untung, mereka lupa satu perkara besar: keuntungan itu bukan untuk disorok dalam peti besi, tetapi untuk memastikan syarikat ini terus hidup, terus melabur, terus berkembang dan terus menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Bagi FY2025, Petronas mencatat keuntungan selepas cukai sekitar RM45.4 bilion, tetapi hasilnya (revenue) juga turun kepada RM266.1 bilion dan keuntungan itu sendiri menurun berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun yang sama, aliran tunai operasi ialah RM85.2 bilion dan perbelanjaan modal pula sekitar RM41.6 bilion, menunjukkan keuntungan itu memang menjadi sumber untuk kelangsungan operasi, pelaburan dan daya tahan masa depan, bukannya duit percuma yang boleh ditabur sesuka hati.

Sebab itu saya kata, kalau nak bincang tentang untung Petronas, kita kena jujur cakap bahawa keuntungan 2025 ini juga dibina di atas satu tempoh yang sangat perit.

Dalam proses “right-sizing” yang diumumkan, Petronas menyatakan sekitar 5,000 pekerja terlibat, iaitu kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya, sebagai sebahagian daripada penstrukturan untuk memastikan kelangsungan jangka panjang.

Ramai tak faham angka

Jadi bila hari ini orang nampak syarikat masih untung, jangan lupa di belakang angka itu ada ribuan keluarga yang pernah dan sedang melalui fasa sukar, ada staf yang menanggung beban kerja lebih besar, ada yang bekerja offshore jauh dari anak isteri berminggu-minggu, ada yang hidup dalam tekanan operasi tinggi, call tak kenal siang malam, dan ada yang terpaksa menggalas tanggungjawab lebih berat selepas organisasi dikecilkan. Untung itu bukan jatuh dari langit.

Untung itu datang bersama pengorbanan manusia di belakang sistem.

Ramai juga tak faham bahawa angka yang diumumkan itu ialah ‘profit after tax’. Maknanya, itu keuntungan selepas cukai, selepas kos operasi, selepas kos produk, selepas susut nilai, selepas komitmen perniagaan, dan selepas bermacam risiko sudah ditanggung.

Laporan kewangan Petronas menunjukkan jumlah kos kumpulan FY2025 sekitar RM228.4 bilion, dan margin keuntungan selepas cukainya sekitar 17 peratus, sejajar dengan purata syarikat oil&gas yang lain. Jadi bila ada yang cakap “kurangkan lagi untung”, mereka sebenarnya bercakap seolah-olah syarikat ini tak ada tanggungan, tak ada pelaburan semula, dan tak ada risiko global yang perlu dihadapi. Itu tidak tepat.

Kalau nak bercakap soal rakyat, mari kita cakap dengan adil. Petronas sudah bayar kepada kerajaan pusat melalui dividen, cukai, petroleum cash payments dan pelbagai sumbangan fiskal lain.

Dalam laporan tahunannya, Petronas menyatakan sejak penubuhannya, kumpulan ini telah menyumbang kira-kira RM1.5 trilion kepada ekonomi negara dalam bentuk dividen, cukai, pelaburan domestik dan pembangunan nilai rantaian.

Duit itu ke mana?

Jadi bila ada orang marah dan tanya kenapa Petronas untung, saya rasa soalan susulan yang lebih berani patut ditanya ialah: selepas Petronas bayar kepada kerajaan, ke mana pula wang itu pergi?

Kalau benar mahu bercakap tentang hak negeri-negeri pengeluar seperti Terengganu dan Kelantan, maka tanya juga kerajaan pusat dan kerajaan negeri masing-masing. Pada Ogos 2025, Perdana Menteri memaklumkan bahawa bagi tempoh 2023 hingga 2025, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sekitar RM4 bilion wang ehsan kepada Terengganu dan sekitar RM967 juta kepada Kelantan.

Pada masa yang sama, dokumen Belanjawan Terengganu 2025 pula meletakkan anggaran hasil royalti petroleum RM1.634 bilion, manakala dokumen belanjawan Kelantan melaporkan pemberian wang ehsan RM238.87 juta setakat Oktober 2025.

Jadi bila isu ini dibangkitkan, memang wajar rakyat tanya juga kerajaan pusat dan kerajaan negeri masing-masing: duit itu pergi ke mana, dibelanja untuk apa, dan sejauh mana benar-benar sampai kepada rakyat?

Pada masa yang sama, jangan kita butakan mata terhadap satu lagi hakikat besar: Petronas bukan hanya menggaji orang, tetapi menghidupkan satu ekosistem industri yang sangat luas. Dalam rantaian ini ada engineer, technician, operator, geologist, planner, procurement, fabricator, transporter, caterer, consultant, contractor, subcontractor, service provider dan ribuan vendor tempatan.

Dan dalam ekosistem inilah ramai pemain Melayu dan Bumiputera membina hidup. Petronas melaporkan bahawa melalui program pembangunan vendor, lebih 170 vendor SME telah dibangunkan, dan melalui kemudahan pembiayaan vendor, sekitar RM2.2 bilion pembiayaan telah dipermudah kepada vendor setakat 2024.

Bila orang kata “perah lagi Petronas”, mereka mungkin tak sedar bahawa yang akan kena tempias itu bukan sekadar pengurusan atasan. Yang akan semput nanti ialah vendor, subcon, pembekal, pekerja teknikal dan keseluruhan rantaian bekalan industri tempatan.

Sebab itu saya melihat Petronas bukan sekadar syarikat minyak dan gas. Ia juga adalah salah satu benteng besar yang membuka ruang kepada profesional Melayu/Bumiputera, vendor Bumiputera, graduan tempatan dan anak-anak Malaysia untuk naik dalam industri strategik yang sangat mencabar.

Dalam banyak sektor lain, persaingan terlalu keras hingga ramai pemain bumiputera mudah tenggelam. Tetapi dalam ekosistem Petronas, masih ada ruang yang secara langsung dan tidak langsung membina kapasiti Bumiputera, baik dari sudut tenaga kerja mahir, kejuruteraan, teknikal, keusahawanan vendor mahupun pembangunan kepimpinan industri.

Kalau institusi seperti ini terlalu banyak diganggu oleh campur tangan politik jangka pendek, akhirnya syarikat akan lemah, pelaburan akan perlahan, projek akan berkurang, vendor akan sesak, dan rakyat biasa juga yang paling cepat terasa kesannya.

Bina masa depan

Dan jangan lupa, sumbangan Petronas kepada negara bukan terhenti pada cukai dan dividen sahaja. Petronas juga membina negara secara jangka panjang melalui pendidikan, latihan dan pembangunan modal insan. Dalam Integrated Report 2024, Petronas menyatakan bahawa program tajaan pendidikannya telah memberi manfaat kepada kira-kira 39,000 pelajar sejak 1975. Pada tahun 2024 sahaja, Petronas juga menyalurkan sekitar RM700 juta kepada lebih 400 program impak sosial.

Institusi seperti UTP dan INSTEP pula bukan projek kosmetik, tetapi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera, teknologis, tenaga mahir dan bakat industri yang menjadi aset negara bertahun-tahun lamanya. Ini maknanya, sumbangan PETRONAS bukan sekadar isi akaun kerajaan hari ini, tetapi juga membina keupayaan negara untuk masa depan.

Jadi bagi saya, keuntungan Petronas ini bukan sesuatu yang perlu dimusuhi. Ia perlu dilihat sebagai kekuatan strategik negara yang mesti diurus dengan amanah, dipantau dengan telus, tetapi pada masa sama dipertahankan dengan bijak. Kritik boleh. Semak boleh. Tegur boleh. Tetapi jangan sampai kerana mahu nampak populis, kita rosakkan salah satu institusi nasional yang masih menjadi tempat ramai anak Melayu dan Bumiputera berkhidmat, membina kerjaya, menyara keluarga, dan menggerakkan ekosistem industri negara.

Kadang-kadang orang hanya nampak angka.

Tetapi di sebalik angka itu, ada maruah. Ada perjuangan. Ada pengorbanan.

Ada derita ribuan pekerja yang pernah terkena MSS dan penstrukturan. Ada bebanan offshore yang tak semua orang sanggup pikul. Ada vendor tempatan yang bergantung pada kelangsungan projek.

Ada anak kampung yang belajar hasil biasiswa. Ada graduan yang dibentuk melalui UTP dan INSTEP. Ada negeri yang menerima wang ehsan.

Dan akhirnya, ada sebuah syarikat nasional yang sedang cuba terus bertahan supaya negara ini tidak hilang satu lagi institusi pentingnya.

***Penulis adalah Pengurus Projek di syarikat berkaitan petroleum dan gas serta sentiasa berkongsi isu semasa di media sosialnya

Anda Mungkin Berminat