Oleh: Nadhirah Akmam
PUTRAJAYA: Suasana sambutan kemerdekaan di Dataran Putrajaya pagi Ahad menjadi lebih meriah apabila ramai keluarga yang tampil dengan pakaian sedondon.
Antara yang menarik perhatian Malaysia Bangkit ialah satu keluarga yang mengenakan t-shirt jersey bertema Jalur Gemilang lengkap dengan gabungan warna biru, merah, putih dan kuning.
Ibu, Norhayati Sulaiman, 44, berkata tradisi pakaian sedondon itu sudah diamalkan sejak anak sulungnya masih kecil.
“Sejak anak sulung kecil lagi saya sudah mula merancang untuk pakai baju sedondon setiap kali sambutan merdeka. Memang setiap tahun saya akan belikan pakaian baru untuk mereka,” katanya ketika ditemui di Dataran Putrajaya.

Norhayati menambah, pemilihan baju sedondon kali ini dibuat lebih awal kerana sudah mengetahui mereka sekeluarga akan hadir memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini.
“Saya memang teruja cari baju khas untuk kami sekeluarga kerana tahu kami akan turun ke Dataran Putrajaya. Anak-anak pun gembira bila dapat pakai baju bertema Jalur Gemilang,” ujarnya.
Bagaimanapun, suaminya tidak dapat turut serta dalam temu bual kerana perlu melaksanakan tugasan sebagai jurufoto rasmi pada acara berkenaan.
Untuk rekod, sambutan kemerdekaan negara saban tahun menjadi tumpuan ribuan rakyat dari seluruh negara dengan pelbagai persembahan, perarakan kontinjen serta kibaran Jalur Gemilang di bawah gagasan Malaysia MADANI.
Baca juga:








