PETALING JAYA: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kerana didakwa memfitnah membabitkan dirinya dan MARA.
“Tak habis-habis seorang pembangkang dari Melaka buat pelbagai fitnah kononnya saya habiskan duit MARA sebab terjah, tebuk hafazan dan MARA dah tak biayai pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Insya-Allah, barisan Peguam MARA akan mulakan prosiding saman kepada beliau.
“Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. See you in court YB Mas!,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Asyraf menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dikritik termasuk jika ada yang menganggap tidak wajar bagi seorang Pengerusi bukan eksekutif untuk melawat institusi-institusi Pendidikan MARA seperti MRSM, IKM dan KKTM tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan kerana ia boleh menyulitkan mereka.
Namun, beliau menegaskan sekiranya kritikan itu berubah menjadi fitnah dengan niat memburukkan institusi Melayu-Bumiputera, beliau tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang melalui saman fitnah.