PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyegerakan pakej rangsangan ekonomi khas bagi melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin tertekan akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Gesaan ini dibuat Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menjelang sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 5 Mei ini.
Menurutnya langkah ini perlu susulan langkah Amerika Syarikat menaikkan tarif ke atas pelbagai produk import, yang menimbulkan kesan domino terhadap perdagangan antarabangsa termasuk Malaysia.
“Pengumuman Presiden Trump untuk menangguhkan pelaksanaan cukai selama 90 hari tidak memberi kelegaan sebenar kepada pasaran. Ketidaktentuan dasar ini hanya menangguhkan tekanan, bukan menyelesaikannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lee, Malaysia sebagai negara berorientasikan eksport turut menerima kesan langsung. Pada 2024, nilai eksport Malaysia ke Amerika Syarikat mencecah RM196.6 bilion, menjadikannya pasaran eksport kedua terbesar negara, manakala import dari AS pula berjumlah RM126.3 bilion.
“Banyak sektor eksport utama seperti perabot, getah dan peralatan optik kini berdepan tekanan kos berikutan tarif 10 peratus yang dikenakan. Ini menyebabkan pelaburan dan pengambilan pekerja baharu ditangguhkan,” katanya.
Lee memberi amaran bahawa jika tiada tindakan segera diambil, negara bakal berdepan gelombang pengangguran baharu. Beliau mencadangkan tiga langkah utama dalam pakej rangsangan:
- Dana Penampan Tarif PKS – pembiayaan berfaedah rendah dan subsidi kos untuk syarikat terjejas.
- Geran Penyesuaian Pasaran Eksport – bantuan kewangan dan teknikal melalui MATRADE untuk teroka pasaran alternatif seperti ASEAN, EU dan Timur Tengah.
- Penangguhan Cukai dan SST – penangguhan pelaksanaan dan pembayaran selama enam bulan bagi meringankan aliran tunai syarikat.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan penguatkuasaan undang-undang yang adil terhadap semua syarikat, termasuk entiti asing, dalam memastikan mereka membayar cukai yang sewajarnya.
“Kita tidak boleh membiarkan ada pihak mengambil kesempatan daripada kelemahan dasar untuk elak cukai. Ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara, malah mencemar persaingan pasaran,” katanya.
Lee menegaskan bahawa PKS adalah tunjang utama ekonomi negara, khususnya dalam menjana pekerjaan dan menjamin kestabilan sosial.
“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen jelas bahawa mereka bersama rakyat. Jangan tunggu krisis bertambah buruk – bertindak sekarang, bukan 90 hari kemudian,” katanya lagi.
Baca juga: