PETALING JAYA: Cadangan melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur disifatkan sebagai langkah yang sepatutnya sudah lama dipertimbangkan, selaras dengan keperluan tadbir urus bandar yang semakin kompleks serta perkembangan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya global.
Bekas Ketua Penerangan Parti MUDA, Luqman Long berkata, keperluan memberi suara langsung kepada warga kota dalam menentukan kepimpinan bandar bukanlah isu baharu, sebaliknya telah lama menjadi tuntutan dalam konteks pentadbiran moden dan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau berkata, sebagai ibu negara dengan populasi besar serta peruntukan belanjawan mencecah berbilion ringgit setiap tahun, Kuala Lumpur memerlukan sistem pentadbiran yang cekap dan mempunyai tahap akauntabiliti tinggi kepada rakyat.
“Kuala Lumpur beroperasi tanpa wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (ADUN), menjadikan Datuk Bandar dan PBT sebagai institusi paling hampir dengan kehidupan seharian warga kota.
“Justeru, penglibatan rakyat dalam menentukan kepimpinan bandar sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar bukan bertujuan menafikan peranan Kerajaan Persekutuan tetapi untuk mengukuhkan sistem sedia ada agar dasar dan perancangan bandar lebih responsif terhadap keperluan penduduk ibu kota.
Luqman turut merujuk kepada amalan demokrasi di bandar utama dunia seperti Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Jakarta, yang membuktikan bahawa pemilihan ketua bandar melalui pilihan raya boleh berfungsi dengan baik serta selari dengan pentadbiran negara.
Beliau menyifatkan cadangan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji semula pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar sebagai langkah tepat, meskipun agak lewat.
Menurutnya, perbincangan mengenai pilihan raya tempatan wajar difokuskan kepada aspek pentadbiran, kecekapan perkhidmatan awam dan pembangunan bandar yang mampan, bukannya disempitkan dengan sentimen politik atau perkauman.
“Pilihan raya tempatan memberi ruang kepada warga kota menilai prestasi kepimpinan bandar secara langsung.
“Ini akan mendorong Datuk Bandar dan PBT bekerja dengan lebih berkesan, telus dan berorientasikan keperluan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik hasrat Kerajaan MADANI untuk menjalankan kajian menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pelaksanaan kelak selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta realiti pentadbiran negara.







