Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia disifatkan sebagai pengalaman yang membuka perspektif baharu mengenai diplomasi berteraskan nilai kemanusiaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Menurut beliau, perbincangan Anwar di Addis Ababa menyingkap kembali sejarah tahun 615 Masihi apabila Emperor Kristian Ortodoks, Negus, memberi perlindungan kepada pelarian Islam dari Mekah.
“Emperor itu menolak tekanan politik dan memastikan pelarian Islam mendapat kebebasan beragama.
“Tindakan ini menunjukkan keberanian, toleransi dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Lee berkata, peristiwa bersejarah itu bukan sahaja penting untuk umat Islam, malah relevan untuk rakyat Malaysia berbilang kaum sebagai asas persefahaman dan hubungan diplomasi antara manusia.
“Sejarah itu bukan sekadar penting untuk umat Islam, malah relevan untuk rakyat Malaysia berbilang kaum sebagai asas persefahaman dan hubungan diplomasi antara manusia,” katanya.
Tambah beliau, nilai solidariti merentas agama serta persahabatan yang saling menghormati yang ditonjolkan dalam peristiwa tersebut boleh dijadikan panduan dalam membina kepercayaan antarabangsa hari ini.
“Diplomasi Malaysia kini bukan semata-mata mengenai pelaburan atau perniagaan tetapi tentang maruah, kepercayaan dan masa depan bersama,” katanya.
Sebagai wakil rakyat yang turut serta dalam rombongan rasmi, Lee berkata, beliau berbangga melihat Anwar membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa dengan menekankan nilai kemanusiaan, bukan retorik kuasa semata-mata.
Untuk info, lawatan ke Ethiopia merupakan sebahagian daripada agenda diplomasi tiga negara Afrika termasuk Afrika Selatan dan Kenya, dengan fokus memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, teknologi, industri halal serta pembangunan kapasiti komuniti Islam.








