Oleh: Shukri Ibrahim
ULASAN | Pernah menulis melodi yang menangis, kini memerhati politik yang lebih keras daripada lagu. Seorang komposer yang dulunya menggubah rasa, kini mencatat derap kuasa. Hidupnya berselang antara nada dan naratif, antara pentas seni dan pentas negara.
Retorik politik Malaysia sekali lagi memuncak. Kali ini, bukan sekadar himpunan jalanan biasa, tetapi dikaitkan dengan naratif besar – “sejuta rakyat turun” untuk menolak Perdana Menteri, bukan kerajaan. Bunyi pelik? Mungkin tidak. Tapi realiti politik tanah air memang tidak pernah benar-benar ikut skrip biasa.
Menurut kenyataan beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Shahidan Kassim dan Hamzah Zainudin, himpunan besar yang dirancang di ibu kota pada hujung minggu ini bukan bertujuan menggulingkan kerajaan perpaduan.
Bukan juga untuk membawa undi tidak percaya dalam parlimen. Sebaliknya, objektifnya lebih “spesifik” – mereka mahu rakyat “memilih” Perdana Menteri baharu. Dalam erti kata lain: Anwar Ibrahim perlu diganti, tetapi kerajaan kekal.

Sekilas lalu, kenyataan ini tampak seperti langkah politik yang bijak. Tidak ekstrem, tidak minta parlimen dibubar, tidak mahu kerajaan runtuh. Cuma mahu tukar ketua. Tetapi persoalan paling besar — dan paling kabur – tetap belum dijawab: siapa yang dimaksudkan sebagai pengganti itu?
Setakat ini, tiada satu nama pun yang diumumkan secara rasmi oleh Perikatan Nasional sebagai calon yang lebih layak untuk memimpin Malaysia berbanding Anwar. Nama Tan Sri Muhyiddin Yassin masih disebut-sebut, namun kredibilitinya telah tercalar teruk semasa tempoh 17 bulan beliau mentadbir negara semasa pandemik.
Tambahan pula, Muhyiddin sendiri kini tidak menunjukkan tanda-tanda jelas ingin kembali ke puncak kuasa. Nama-nama lain seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Radzi Jidin atau Sanusi Md Nor masih belum cukup kuat.
Justeru, jika benar agenda ini ialah untuk “menukar Perdana Menteri”, logiknya ia harus disertai dengan satu nama calon yang disepakati, diyakini dan diterima oleh rakyat, pelabur, penjawat awam dan dunia luar. Bukan sekadar ‘seseorang’, tetapi ‘seseorang yang boleh memimpin’.
Malangnya, itu tidak berlaku. Agenda ini seolah-olah mahu memotong kepala tanpa tahu siapa yang akan memakai mahkota seterusnya.
Lebih penting, struktur politik negara tidak membenarkan Perdana Menteri diganti begitu sahaja hanya kerana tekanan jalanan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri hanya boleh ditukar melalui dua cara utama: melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat, atau jika beliau sendiri meletak jawatan. Demonstrasi – besar mana sekalipun – tidak mencukupi sebagai asas perundangan untuk perubahan kuasa. Ia hanya menzahirkan isyarat politik, bukan perubahan struktur.
Ironinya, dalam masa yang sama, pentadbiran Anwar terus melaksanakan reformasi fiskal dan ekonomi yang telah lama tertangguh. Penstrukturan semula subsidi bahan api, pelaksanaan subsidi bersasar, peningkatan pelaburan asing langsung, ketegasan dalam dasar antirasuah dan pendigitalan sektor awam mula menunjukkan kesan. Malaysia kembali di radar pelabur, keyakinan pasaran meningkat, dan suara negara kembali didengari di peringkat antarabangsa.
Kesemua pencapaian ini tidak bermakna Anwar bebas dari kritikan. Namun jika objektif utama gerakan politik sekarang hanyalah untuk menggantikan Perdana Menteri – tanpa pelan yang lebih baik, tanpa calon yang lebih diyakini – maka himpunan sejuta orang sekalipun akan kelihatan lebih sebagai aksi dramatik berbanding strategi politik matang.
Politik bukan soal siapa yang paling lantang atau berapa ramai yang turun ke jalan. Ia soal siapa yang sanggup memimpin, berdepan tekanan, dan tetap bertahan untuk membawa negara ke hadapan.
Jika Anwar mahu diganti, maka rakyat berhak tahu siapa yang mahu menggantikan beliau. Bukan sekadar kerana tidak suka, tetapi kerana ada yang lebih layak.
Setakat ini, soalan itu masih belum dijawab.
***Penulis adalah seorang pemerhati politik, melepak di mamak dengar kawan-kawan sembang lebat, tapi mahukan negara yang selamat.