Sekolah dibina Siti Nurhaliza di Gaza musnah dibedil Israel

Oleh: Aliyaa Azmi

SEKOLAH Afwa Al Aafiyah di Gaza yang dibangunkan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melalui Yayasan Nurjiwa, musnah selepas dibedil bom rejim Israel.

Perkara itu dimaklumkan wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Dr Mohanad Kullab menerusi hantaran di Instagram, pada Sabtu.

“Dengan penuh rasa dukacita, kami di Yayasan Nurjiwa ingin memaklumkan bahawa Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza, yang selama ini menjadi tempat perlindungan serta pendidikan untuk anak-anak di sana, telah musnah dibedil oleh rejim Israel,” katanya.

Sekolah berkenaan dibangunkan sebelum tercetusnya perang pada tahun 2021 dengan harapan anak-anak Gaza dapat menimba ilmu, membesar dalam suasana aman dan membina masa depan lebih baik.

Bagaimanapun, serangan kejam itu bukan sahaja meranapkan bangunan sekolah berkenaan, malah turut meragut ruang harapan dan kegembiraan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Menurut Yayasan Nurjiwa, berita itu amat mengejutkan dan menyayat hati seluruh warga yayasan, khususnya pengasasnya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Walau bagaimanapun, kami tetap bertekad untuk terus berdiri bersama rakyat Gaza dan berusaha mencari jalan bagi membina semula harapan yang telah musnah,” menurut kenyataan itu.

Yayasan Nurjiwa turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan serta menyokong usaha kemanusiaan demi masa depan anak-anak Gaza.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat