Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Semua sekolah disaran mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), susulan penurunan penyertaan pelajar bumiputera dalam bidang berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa usaha ini perlu diberi keutamaan bagi memastikan lebih ramai pelajar menyertai aliran STEM, khususnya di sekolah berasrama penuh dan institusi pendidikan berkaitan.
“Saya telah mengarahkan mulai tahun ini, diberi tumpuan di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah menengah sains, sekolah menengah asrama penuh, sekolah menengah agama, tanpa kecuali mengambil langkah-langkah segera untuk memberikan tekanan supaya ada minat yang bertambah anak-anak kita masuk ke STEM.

Beliau turut mengumumkan bahawa bermula tahun depan, sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar baharu yang diterima masuk ke MRSM, sekolah menengah sains dan Sekolah Berasrama Penuh mestilah dari aliran STEM.
“Kedua, bermula tahun depan tanpa kecuali, semua MRSM, sekolah menengah sains, Sekolah Berasrama Penuh kita mulakan begitu, 70 peratus kemasukan baru mesti dari aliran STEM kalau tidak kita tidak akan terima.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA MADANI sempena Hari MARA ke-59 di ibu negara.
Menurutnya, trend penurunan pelajar dalam bidang STEM perlu ditangani segera bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga pakar yang mencukupi dalam sektor kritikal ini.
Langkah ini juga selari dengan usaha negara yang kini memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.
Baca juga: