Sekolah Henry Gurney Catat Kelulusan SPM 2024, 100 Peratus

PARLIMEN | Sekolah Henry Gurney mencatat sejarah tersendiri apabila mencapai kadar kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kejayaan itu adalah hasil pendekatan rehabilitasi bersepadu yang menggabungkan pendidikan akademik, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sokongan psikososial kepada pelajar.

“Selain kelulusan penuh, 40 peratus pelajar juga memperoleh sekurang-kurangnya satu A dalam SPM,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sekolah Henry Gurney berfungsi sebagai pusat pemulihan di bawah Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama tenaga pengajar, agensi agama dan program intervensi khas.

Lokasi sekolah termasuk Teluk Mas (Melaka), Keningau (Sabah), Puncak Borneo (Sarawak) dan Kota Kinabalu untuk pelajar wanita.

Menurut Shamsul Anuar, seramai 153 pelajar turut menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui program TVET yang merangkumi bidang seperti pembuatan pastri, kerja elektrik dan fabrikasi logam.

“Latihan meliputi bidang seperti pembuatan pastri, kerja elektrik dan fabrikasi logam.

“Semua ini bertujuan membekalkan pelajar dengan kemahiran praktikal untuk masa depan mereka,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penilaian impak dilakukan secara berkala dengan sokongan kaunseling dan pembangunan peribadi diteruskan demi kesejahteraan pelajar.

Katanya, pendidikan pembetulan ini disokong oleh kurikulum kebangsaan, pengajian agama serta lima kluster pembangunan diri iaitu akademik, agama, kemahiran, seni dan sukan.

“Program seperti Projek Riben Kuning memberi peluang kedua kepada mereka untuk kembali sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab,” tambahnya lagi.

Anda Mungkin Berminat