Sekolah kena fokus kemenjadian murid

Oleh: Dr Anuar Ahmad

ULASAN | Kita mempunyai lebih 10,000 buah sekolah. Setiap sekolah mempunyai keunikan dan kehebatan masing-masing. PGB (Pengetua /Guru Besar) adalah pihak yang diberikan amanah mengangkat potensi sekolah.

Kita juga ada lebih 140 buah PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan setiap negeri mempunyai JPN (Jabatan Pendidikan Negeri). Peranan PPD dan JPN ialah meningkatkan kualiti pendidikan negara. JPN dan PPD bertanggungjawab menjadikan sekolah tempat yang seronok dan pemangkin potensi murid-murid. Hanya selepas itu, sekolah akan cemerlang.

Apakah kita tidak mempunyai sekolah yang cemerlang di peringkat global? Jawapannya ADA. Tetapi belum banyak.

Misalnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Pulau Pinang dan SK Kanchong Darat, Selangor. Mereka pernah menerima pengiktirafan di peringkat global.

Kita juga baru mendengar berita gembira apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) mencipta sejarah tersenarai sebagai salah satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.

Kita juga ada dua sekolah yang pernah melakar nama di peringkat antarabangsa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang yang tercalon bagi kategori ‘Inovasi’ manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor tercalon bagi kategori ‘Menangani Cabaran’.

Sebenarnya ada lagi sekolah cemerlang yang lain.

Apakah rahsianya?

Bila ada guru-guru yang komited untuk membangunkan murid, ada ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha guru. Pengetua dan guru besar yang berani berpandangan di luar kotak ‘pendidikan yang jumud’, kehadiran pegawai PPD dan JPN yang sentiasa membuka jalan dan menghulurkan bantuan. Maka akan cemerlanglah sekolah demi murid-murid.

Sekolah tidak perlukan program sorak-sorai, perasmian, pelancaran, peluncuran slogan dan apa sahaja yang tidak membangunkan potensi murid.

Yang penting ialah aktiviti murid.

Sekolah kena fokus pada kemenjadian murid.

Itu rahsianya.

***Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sentiasa berkongsi mengenai isu pendidikan di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat