Oleh:Aliyaa Azmi
SEREMBAN: Pasukan Seri Baiduri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Rembau mengharumkan nama negara apabila berjaya menyapu bersih semua kategori pada 35th International Competition & Festival of Folklore, Dance and Music “Etoiles De Paris” yang berlangsung pada 28 Oktober lalu di Theatre du Blanc Mesnil, Paris, Perancis.
Delegasi Malaysia yang mewakili sekolah berkenaan mencatat kemenangan cemerlang apabila merangkul empat anugerah utama dalam pertandingan berprestij itu.
Kemenangan itu merangkumi tempat pertama Solo Folklore (Kid) menerusi Ahmad Redza Yussaini Zamir; tempat pertama Duo Folklore (Kids) yang dipersembahkan Muhammad Nur Ziqri Helmy Rizal dan Nur Imani Khairunnisa Ahmad Tajudin; serta tempat pertama Solo Folklore (Adult) yang dimenangi jurulatih pasukan, Mohd Ainuddin Mohd Ramlan.
Pasukan itu turut diumumkan sebagai pemenang utama kategori Crystal Grand Prix Dance Group Folklore (Highest), sekali gus menewaskan lebih 50 kumpulan dari pelbagai negara.
Antara tarian yang dipersembahkan termasuk Joget Kreatif, Inang Kreatif, Tarian Balqis dan Tarian Murut Sabah Kreatif, yang berjaya menarik perhatian juri dengan keaslian serta keindahan budaya tempatan.
Kejayaan berkenaan hasil latihan berterusan sejak beberapa tahun lalu, selain sokongan daripada warga sekolah serta pelbagai pihak yang membantu menjayakan penyertaan ke pertandingan berkenaan.
Pasukan Seri Baiduri pulang dengan rasa syukur dan bangga kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi seni tari warisan bangsa.
Baca juga:








