Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat membuat laporan polis terhadap dua pempengaruh yang membuat hasutan berbaur fitnah terhadap Kerajaan Perpaduan menerusi platform media sosial milik mereka baru-baru ini.
Ketua Biro Politik Sekretariat Shahbudin Embun memaklumkan, dua pempengaruh yang dilaporkan merupakan Rafique Rashid dan Aidil Yunus, atau lebih dikenali sebagai YB Viral.
Shahbudin menyifatkan perbuatan Rafique yang merupakan peguam Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0 sangatlah menjijikkan, apabila dia memilih untuk melakukan perhimpunan walaupun telah dilarang oleh Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Azizi Mat Ari.
“Dia (Rafique) turut mempertikai dan memanipulasikan fakta hingga menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan bahasa kesat,” katanya menerusi siaran langsung Sidang Media Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat.
Dalam pada itu, Sekretariat berkenaan turut akan membuat laporan polis terhadap pempengaruh, Aidil Yunus yang turut mengeluarkan hantaran dalam platform TikTok yang menabur fitnah terhadap Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Anwar.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Mejar (B) Razali Zakaria memaklumkan antara fitnah yang dinyatakan oleh Aidil ialah kerajaan ‘merasuah’ pengundi di Kuala Kubu Bharu sebanyak RM100 juta ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
“Paparan fitnah yang dilontarkan olehnya adalah bertentangan dengan Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Fitnah 1957 dan Seksyen 5 akta sama.
“Selain itu, Aidil turut melakukan kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998 dengan berniat mahu menjatuhkan dan mencemarkan imej kerajaan,” ujarnya.
Zakaria juga memberitahu bahawa Aidil turut mengetuai kempen rakyat melawan Anwar di Putrajaya.
Baca juga: