Sektor Perkhidmatan Kukuh, Catat Hasil RM657.7 Bilion Pada Suku Ketiga 2025

PUTRAJAYA: Sektor perkhidmatan Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 6.3 peratus, dengan jumlah hasil mencecah RM657.7 bilion bagi suku ketiga 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lonjakan itu didorong oleh prestasi positif hampir semua segmen utama terutamanya perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman yang meningkat 5.8 peratus kepada RM496.8 bilion.

“Peningkatan perbelanjaan isi rumah melalui inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pertambahan pelancong domestik serta antarabangsa menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan prestasi sektor ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan turut mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 6.4 peratus dengan hasil RM91 bilion.

Menurutnya, peningkatan itu dipacu oleh penggunaan meluas perkhidmatan digital dan telekomunikasi, selain logistik dan penghantaran darat yang kekal aktif berikutan perkembangan pesat e-dagang.

Manakala Mohd Uzir berkata, sektor profesional, hartanah, pentadbiran dan khidmat sokongan pula berkembang 8.8 peratus, manakala sektor berkaitan kesejahteraan rakyat seperti kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian dan rekreasi melonjak 12.4 peratus, mencerminkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan gaya hidup dan penjagaan diri.

“Dari sudut guna tenaga, seramai 4.6 juta individu kini bekerja dalam sektor perkhidmatan, meningkat 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah gaji dan upah turut naik 4.7 peratus kepada RM34.5 bilion dengan subsektor borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan menjadi penyumbang utama,” katanya.

Selain itu, katanya, pendapatan e-dagang pula berjumlah RM312.6 bilion, meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun.

Walaupun kadar pertumbuhan sedikit perlahan berbanding suku sebelumnya, angka ini tetap menunjukkan aktiviti digital yang terus berkembang dan berdaya tahan.

Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan di peringkat global apabila menduduki tempat pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 mengatasi 198 negara lain.

Kejayaan itu merupakan lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 dua tahun lalu, hasil pelaksanaan inisiatif data terbuka melalui platform OpenDOSM NextGen.

Anda Mungkin Berminat