‘Selamat Maju Jaya’ Ucap Anwar Kepada Duta Besar Malaysia ke AS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang baru dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS serta strategi menarik pelaburan asing yang berkualiti dan berimpak tinggi dari negara berkenaan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Muhammad Shahrul, semoga dapat mengangkat aspirasi, imej serta reputasi Malaysia ke peringkat tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk info, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram bukanlah nama asing dalam dunia diplomasi.

Berasal dari Pahang, beliau memiliki pengalaman lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 2019 hingga 2022.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar dan Austria serta sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Selain itu, beliau memainkan peranan penting dalam hubungan serantau ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015.

Dengan latar belakang akademik dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya serta latihan pengurusan di Harvard Business School, beliau membawa perspektif yang luas dalam diplomasi dan ekonomi.

Anda Mungkin Berminat