Selamat Tahun Baharu 2026, teruskan tekad jaya Malaysia MADANI – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melangkah ke tahun baharu 2026 dengan semangat kebersamaan yang utuh serta tekad jitu.

Beliau menegaskan usaha memperkukuh perpaduan nasional perlu diperkasa bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, usaha memaknai reformasi secara berterusan perlu dilaksanakan secara konsisten demi menjamin masa depan negara yang lebih adil, stabil dan sejahtera.

“Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan amanah yang diberikan rakyat dengan penuh kejujuran, keberanian dan ihsan dalam setiap tindakan serta dasar yang dirangka.

“Kerajaan MADANI akan terus bekerja dengan amanah dan iltizam yang tinggi bagi memastikan manfaat yang nyata dapat dirasai rakyat, selain menjamin masa depan negara yang lebih terjamin,” katanya dalam perutusan sempena menyambut tahun baharu.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat agar bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan.

Anwar menegaskan bahawa kemakmuran negara perlu bersifat inklusif, merangkumi semua kelompok rakyat tanpa mengira latar belakang, selaras dengan prinsip teras Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan doa agar tahun 2026 menjadi tahun yang lebih cemerlang dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

“Saya dan Azizah mendoakan agar negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat