Selamatkan Malaysia Daripada Penjenayah Perang – PKR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan tentera Rejim Zionis Israel (IDF) yang didakwa melakukan keganasan terhadap aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla, baru-baru ini.

Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik menyifatkan insiden tersebut sebagai jenayah kemanusiaan dan genosid serta menyeru masyarakat antarabangsa agar melabel IDF sebagai pertubuhan pengganas.

“Apa yang berlaku merupakan sikap keganasan lazim yang lama diamalkan oleh tentera Rejim Zionis Israel (IDF) seperti membunuh orang awam, pekerja kemanusiaan dan aktivis kedamaian merupakan perlakuan jenayah kemanusiaan dan genosid,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia agar mengambil langkah konkrit dengan menutup pintu sempadan kepada individu yang terlibat dengan IDF dan rejim Zionis.

Menurutnya, cadangan itu termasuk mewajibkan pengisytiharan status kewarganegaraan tersembunyi dan penglibatan dalam IDF bagi semua warga asing yang memasuki negara.

“Ini adalah suatu tanggungjawab moral dan diiktiraf di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keadilan, kedamaian dan perlindungan ke atas rakyatnya,” katanya lagi.

Dr Maszlee turut menyeru Menteri Dalam Negeri agar segera melaksanakan langkah-langkah tersebut sebagai tindak balas terhadap penculikan rakyat Malaysia oleh IDF di perairan antarabangsa.

“Malaysia berdasarkan prinsip moralnya, tidak boleh berkompromi dengan pelaku jenayah genosid,” tegasnya.

Insiden terdahulu melibatkan Global Sumud Flotilla (GSF) dan Freedom Flotilla telah mencetuskan kecaman antarabangsa apabila tentera Rejim Zionis Israel (IDF) didakwa menggunakan kekerasan terhadap aktivis kemanusiaan yang cuba menghantar bantuan ke Gaza.

Serangan itu bukan sahaja melibatkan pemintasan kapal di perairan antarabangsa tetapi juga penahanan dan penderaan terhadap sukarelawan termasuk rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat