Selangor ambil langkah segera pastikan keselamatan pelajar dan bantuan bencana

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengambil beberapa langkah segera susulan insiden tragis pelajar perempuan maut ditikam di Bandar Utama baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata langkah itu termasuk pendaftaran pelajar di pintu masuk sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan CCTV, serta pembangunan sistem notifikasi pintar yang menghubungkan ibu bapa dan guru.

“Insiden sebegini tidak boleh ada ruang untuk diulang sama sekali. Sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah tersebut turut disertai perbincangan bersama Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, serta PIBG sekolah bagi memulihkan keyakinan ibu bapa dan pelajar terhadap keselamatan di sekolah.

Dalam pada itu, kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi pemberian vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling bermula minggu depan.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pemberian vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah utama bermula minggu depan,” katanya.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri menyalurkan RM64,000 bantuan kepada mangsa ribut di Sijangkang, selain memperuntukkan RM320,000 bagi kerja baik pulih Sekolah Rendah Agama Kampung Medan melalui Tabung Bencana Negeri.

Amirudin turut mengumumkan penjawat awam negeri dan anggota GLC diberi kelonggaran bekerja dari rumah (WFH) sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.

“Penjawat awam negeri dan anggota GLC diberi kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi mengurangkan kesesakan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini,” ujarnya.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kerajaan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas susulan penutupan beberapa jalan utama di ibu kota sepanjang persidangan berlangsung.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat