Selangor Beri Vaksin Influenza Percuma Kepada 12,500 Murid B40

PETALING JAYA: Dalam usaha melindungi kesihatan kanak-kanak daripada jangkitan influenza yang semakin menular, Kerajaan Negeri Selangor bakal melaksanakan program vaksinasi percuma kepada kira-kira 12,500 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bermula minggu hadapan.

Program itu akan dilaksanakan di empat daerah utama iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat dengan peruntukan sebanyak RM1 juta yang disalurkan khusus untuk tujuan itu.

Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, inisiatif itu bertujuan memastikan golongan kanak-kanak berisiko mendapat perlindungan optimum terhadap jangkitan influenza serta mengurangkan penularannya dalam komuniti.

“Pemberian vaksin ini disasarkan kepada murid berumur lapan tahun dan ke bawah, sebagaimana disyorkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Kanak-kanak yang belum pernah menerima vaksin Influenza sebelum ini akan diberikan dua dos bagi memastikan imunisasi lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Jamaliah berkata, langkah itu penting bagi melindungi kanak-kanak yang berisiko tinggi agar kesihatan mereka tidak terjejas terutama ketika penularan influenza semakin membimbangkan.

Program itu akan dilaksanakan melalui dua kaedah utama iaitu pendekatan ‘outreach’ di sekolah dan kaedah ‘walk-in’ di klinik panel terpilih.

Bagi kaedah pertama, pasukan ‘outreach’ akan digerakkan ke sekolah-sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menyasarkan kira-kira 4,720 murid B40 berumur lapan tahun ke bawah.

“Setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap beserta kod QR untuk ibu bapa membuat pendaftaran melalui aplikasi SELangkah,” ujarnya.

Sementara itu, bagi kaedah kedua, kanak-kanak daripada keluarga B40 yang tidak bersekolah di PPKI tetapi mempunyai penyakit kronik atau komorbid boleh mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk-in’ di Klinik Selcare atau klinik panel terpilih.

“…selepas mendaftar dan mengesahkan status melalui aplikasi SELangkah,” jelasnya.

Jamaliah turut menekankan bahawa program itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat khususnya kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Program vaksinasi Influenza ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan keluarga B40, malah dapat meningkatkan tahap kesihatan serta kehadiran anak-anak ke sekolah,” katanya

Beliau turut menyeru agar para ibu bapa yang layak segera mendaftar melalui aplikasi SELangkah bagi memanfaatkan kemudahan vaksin percuma ini demi melindungi anak-anak daripada jangkitan influenza.

Anda Mungkin Berminat