Selangor FC mohon FAM, MFL tunda perlawanan Piala Sumbangsih 2024

Persatuan Bola Sepak Selangor (Selangor FC) telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadualkan akan berlangsung pada 10 Mei depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Selangor FC, mereka telah menyatakan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan pihak FAM dan MFL melalui surat permohonan tersebut.

Bagaimanapun, faktor-faktor yang dimaksudkan tidak didedahkan menerusi kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan lain, pemain sayap pasukan berkenaan, Faisal Halim yang disimbah asid baru-baru ini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kali kedua pada petang hari Selasa.

Perkara tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang melawat Faisal di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Piala Sumbangsih pada tahun ini bakal menyaksikan perlawanan antara juara Liga Super 2023, Johor Darul Takzim dan naib juara Liga Super 2023, Selangor FC.

Kejohanan tersebut merupakan edisi ke-39 sejak diperkenalkan pada tahun 1985 dan akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat