Oleh: Hanim Nadia
SHAH ALAM: Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) meterai kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) untuk berkongsi dan bertukar kepakaran, teknologi, jaringan perkhidmatan dan khidmat nasihat, pada Selasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu mengalami peningkatan pembangunan infrastruktur sehingga 10 kali ganda sekali gus memberi pengalaman kepada pengurusan utilitinya.
“Kita bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman pengurusan utiliti dengan Kedah susulan terdapat lebih 24,000 jajaran paip dan kabel bawah tanah yang mengganggu sebarang bentuk pembangunan termasuk kemudahan awam.
“Selangor bukanlah yang pertama atau satu-satunya, kalau kita di Perak sudah ada, di Johor, Melaka, Pahang juga ada, tetapi pengalaman di Selangor lebih kompleks sebab kita ada kawasan-kawasan yang tepu bina.
“Jadi, kalau kita ada kos utiliti yang ada selenggara dan pengurusannya, ia akan jadi nilai tambah, kalau tidak, beban kepada pengurusan utiliti itu ditanggung balik oleh negeri dan ia adalah satu caj yang saya rasa berpada dan berpatutan,” katanya dalam satu sidang media.
Majlis tandatangan MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan KUSEL, Khairul Azmi Misran manakala UiDA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Taufik Radzi yang turut disaksikan Amiruddin bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang berlangsung di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kerjasama itu penting untuk pembangunan infrastruktur di Kedah selain menjimatkan kos pembinaan serta memastikan projek-projek sedemikian siap mengikut waktu ditetapkan.
“Saya juga hendak kongsikan di Kedah, semasa kita buat ‘drawing’ untuk buat kerja-kerja jalan dan penjajaran paip, masih ada jalan tetapi di tapak sebenar sudah masuk ke dalam sungai, rizabnya sudah masuk ke dalam sungai dan perusahaan sawah padi.
“Saya alami baru-baru ini dalam projek tebatan banjir, pembinaan jalan, penjajaran paip, bekalan air dan sebagainya semua hadapi benda yang sama projek jadi lambat.
“Selepas itu pembinaan jalan, projek tertangguh bertahun-tahun. Jadi, saya belajar daripada negeri yang paling kuat sekali, terima kasih Selangor,” ujarnya.