Selangor kurangkan ladang babi, tinggal lebih 30 beroperasi di Kuala Langat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor giat melaksanakan proses pengosongan ladang ternakan babi dengan hanya lebih 30 ladang masih beroperasi di Kuala Langat ketika ini, berbanding 115 ladang sebelum ini, susulan langkah penambahbaikan pengurusan penternakan di negeri berkenaan.

Exco Pertanian Selangor, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan ladang babi dilaksanakan secara lebih teratur, mampan serta mematuhi aspek kesihatan awam dan alam sekitar.

Menurut beliau, cadangan penambahbaikan pengurusan penternakan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mendapat persetujuan semua pihak.

“Saya juga akan mengadakan satu lagi sesi dialog bersama masyarakat serta persatuan Cina bagi memberi kefahaman berhubung dasar ini.

“Kita mahu mengurus industri ini dengan lebih baik demi kepentingan semua pihak,” katanya, seperti dipetik Bernama pada Jumaat.

Izham berkata, penambahbaikan itu penting berikutan penternakan yang tidak diurus secara mampan boleh mengundang pelbagai masalah, termasuk risiko penularan penyakit yang akhirnya merugikan industri tersebut.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri telah memaklumkan dasar berkaitan kepada penternak terlibat dan menekankan bahawa aktiviti penternakan tidak boleh diteruskan di lokasi tertentu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memberi tempoh munasabah bagi tujuan pengosongan dan pemindahan ladang secara berperingkat serta tersusun.

“Ini lebih kepada proses pemindahan. Kita beri tempoh kerana terdapat anak babi yang masih kecil dan tidak boleh dilupuskan serta-merta, sebaliknya perlu menunggu sehingga mencapai tempoh sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Izham menjelaskan bahawa penyakit yang melibatkan ternakan babi di Selangor ketika ini hanya membabitkan Demam Babi Afrika (ASF) dan bukan Virus Nipah.

“Virus Nipah sudah tidak ada. Kes yang dihadapi sekarang adalah ASF dan ia tidak berjangkit kepada manusia, sebaliknya hanya melibatkan babi dan babi hutan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat